Lima maut, seorang masih hilang
BOMBA menemui empat mayat hari ini, mangsa arus deras terperangkap di atas jambatan Telemong Sabtu lalu. .
BENTONG: Lima mangsa banjir maut, seorang masih hilang dan 10 selamat selepas lima kereta dihanyutkan oleh arus deras di atas jambatan Telemong, dekat sini dalam kejadian Sabtu lalu.
Mangsa kelima ditemui kira-kira 4.50 petang tadi, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian..
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (Pahang), Ismail Abdul Ghani, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Karak menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa hanyut ketika mereka terperangkap di atas jambatan Telemong, semalam.
Katanya, lima kenderaan terperangkap di atas jambatan sebelum dihanyutkan arus sungai yang melimpah.
Beliau berkata, anggota bomba mereka mendapat berita lima buah kenderaan dihanyutkan arus sungai kira-kira 2.00 petang dan mereka terus melakukan kerja menyelamat dengan dibantu oleh pekerja kilang berhampiran..
"Seramai 10 orang mangsa berjaya diselamatkan dan seorang perempuan dewasa warga emas meninggal dunia," katanya.
Ismail berkata, pada jam 1:17 tengah hari tadi, mangsa kedua iaitu seorang perempuan dewasa ditemui oleh pasukan bomba pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.
Katanya, mangsa ketiga iaitu seorang warga emas perempuan ditemui pada jam 1:38 tengah hari.
"Mangsa keempat iaitu seorang lelaki dewasa ditemui pada jam 2:07 petang," katanya.
Beliau berkata, kerja mencari dan menyelamat dihentikan 6 petang tadi dan akan diteruskan esok..
Bersama sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat merekaš¤²