ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa banjir yang ditemukan terapung di bawah flat berkenaan. FOTO Ihsan JBPM
Dengkil: Seorang lelaki ditemukan lemas di kediamannya di Blok C tingkat bawah Flat Taman Pertama di sini, pagi ini.
Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Shafizol Mohd Nor berkata, kejadian itu menjadikan kes kedua korban akibat banjir di kawasan itu..
Shafizol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 7.50 pagi dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menemukan mangsa dalam keadaan terapung di tingkat bawah blok berkenaan..
Menurutnya, bomba tiba di tempat kejadian pada 8.10 pagi dan kawasan berkenaan masih dinaiki air.
Katanya, setiba di tempat kejadian bomba membantu mengangkat mayat mangsa dikenal pasti sebagai Kaniappan Vathumalai, 52..
Ketika kerja-kerja menyelamat dijalankan, paras air setinggi dua meter namun operasi dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Semalam seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan maut apabila terkena renjatan elektrik ketika melalui premis perniagaan di Taman Deluxe di sini..