Kamu berduit tapi tidak berbakat – Ajai
PETALING JAYA – “Berduit macam mana sekali pun, bakat tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.”
Itu komen pedas yang dilontarkan juri tetap program Big Stage musim keempat (BS4), Ajai terhadap persembahan usahawan selebriti kontroversi, Ahmad Iqbal Zulkefli.
Dalam komennya, Ajai dengan tegas menyedarkan bahawa Iqbal, 28, langsung tidak mempunyai bakat dalam nyanyian..
“Awak tidak berbakat dalam nyanyian. Bakat adalah pemberian.
“Walaupun berduit macam mana pun, bakat tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” kata Ajai.
Ujar komposer itu lagi, walaupun Iqbal tidak dikurniakan bakat dalam bidang nyanyian, namun pemuda itu diberi rezeki lain (duit).
Kata pelantun lagu Keliru itu, untuk menjadi seorang penyanyi memerlukan seseorang itu menimba ilmu bukan dalam masa yang singkat.
“Tempo nyanyian awak berterabur. Untuk menjadi penyanyi perlukan masa. Bukan sehari dua untuk belajar.
“Tapi yang paling utama untuk bergelar penyanyi, seseorang itu perlu dikurniakan bakat terlebih dahulu. Saya tidak suka perkara ini dijadikan bahan lawak,” katanya.
Sementara itu, usahawan terkenal Datuk Seri Vida secara berterus terang turut memberitahu bahawa ‘bekas kekasihnya’ itu tidak layak untuk berada di atas pentas BS4.
“Saya mewakili netizen ingin memberitahu bahawa Iqbal tidak layak berada di sini (BS4),” kata Vida.
Penglibatan Iqbal dalam program BS4 sebagai peserta menerima kritikan hebat bukan sahaja dalam kalangan netizen, bahkan juga artis.
Antara yang lantang menentang penglibatan Iqbal dalam BS4 ialah penyanyi Datuk Hattan yang menyifatkan penyertaan usahawan itu sebagai ‘memualkan’.
Bahkan, Hattan juga turut mengkritik pihak penyiar kerana kelihatan sengaja ‘menjual’ publisiti jelik demi ‘rating’.
Saya bersuara dan lantang memberi teguran sebab sayangkan industri kita. Tolonglah hentikan benda begitu kalau tak nak tengok seni kita mundur dan berkubur,” ujar Hattan.