Doktor wanita trauma kereta jatuh laut
Kuala Nerus: Doktor wanita yang bertugas di sebuah klinik swasta, di sini, berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terjunam ke laut, awal pagi hari ini.
Kejadian berlaku ketika wanita berusia 30-an itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Mengabang Telipot untuk merawat pesakit sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4 pagi..
Sebaik tiba di lokasi, Perodua Axia yang dipandu wanita terbabit dikatakan terbabas ke tebing sebaik menghampiri selekoh tajam sebelum terjunam ke pantai dari ketinggian kira-kira lima meter di Kampung Kolam, di sini.
Rakan mangsa, Mohd Azwan Jusoh, 38, berkata dia segera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan suami wanita terbabit yang ketika kejadian dikatakan berada di luar kawasan.
"Sebaik menerima panggilan itu, saya kemudian segera ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan dan terkejut apabila melihat kereta mangsa berada dalam air selain turut dipukul ombak..
"Saya bersyukur kerana isteri rakan tidak cedera, namun dia berada dalam keadaan trauma dan ditenteramkan kakaknya yang tiba di tempat kejadian sebelum dibawa pulang ke rumahnya," katanya.
Katanya, mangsa sebelum ini dikatakan jarang memandu seorang diri dan sering dihantar suami ke tempat kerja.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian.
"Bagaimanapun, polis ada menerima maklumat sebuah kereta berada di kawasan pantai di lokasi kejadian dan belum mengenal pasti bagaimana kejadian berlaku," katanya..