Johor Bahru: Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim berkongsi kekecewaan di Instagram apabila kereta miliknya digeser sebuah kereta BMW ketika parkir di hadapan sebuah kedai roti di Jalan Serampang, Taman Pelangi di sini hari ini.
Tunku Idris turut berkongsi gambar bahagian keretanya yang tercalar dan gambar kereta yang melanggarnya, selain turut berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden itu.
Daripada rakaman CCTV yang dikongsi, kejadian berlaku pada 2.17 petang tadi ketika pemandu BMW bernombor pendaftaran Singapura itu hendak ke ruang tempat letak kereta yang kosong.
Video berdurasi 60 saat itu menunjukkan pemandu lelaki keluar daripada kenderaan BMW dan berlalu pergi melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak.
Difahamkan, kereta dipandu Tunku Idris itu adalah kereta elektrik Honda e, kereta yang menggunakan 100 peratus elektrik dan tidak mempunyai enjin.
Ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu.
Katanya, laporan polis mengenai kejadian itu dilakukan di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.
"Bagi tindakan seterusnya, kita akan tunggu hasil siasatan nanti," katanya.