Caj Potong Ayam Jangan Melampau
Kuala Lumpur: Peniaga boleh mengenakan 'caj potong' ayam mentah namun caj berkenaan tidak boleh membebankan pengguna.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, kementeriannya akan terus memantau perkara berkenaan agar peniaga tidak mengambil kesempatan..
Menurutnya, KPDNHEP ada menerima aduan mengenai caj berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"KPDNHEP tidak menghalang peniaga untuk kenakan caj potong ayam namun ia tidak boleh membebankan pengguna.
ADVERTISEMENT
"Kami ada menerima aduan dan setiap permasalahan yang dikemukakan akan disiasat sebelum tindakan lanjut diambil," katanya ketika dihubungi Harian Metro..
Beliau berkata, KPDNHEP akan terus memastikan harga ayam dijual tidak melebihi harga siling RM8.90 sekilogram.
Katanya, jika pengguna mempunyai maklumat peniaga mengenakan caj potong yang melampau boleh menghubungi kementerian untuk tindakan lanjut.
"Kementerian memberi fokus agar barangan yang dijual di pasaran terus mematuhi harga ditetapkan agar pengguna tidak terbeban," katanya..
Sejak kebelakangan ini, ada peniaga ayam yang mengenakan caj potong antara 60 sen hingga RM1 untuk seekor ayam.
Keadaan ini didorong dengan kenaikan harga ayam di peringkat ladang yang dikatakan dijual pada harga yang tinggi.
Akibatnya, peniaga hanya mendapat margin 50 sen untuk seekor ayam dan ia tidak mampu menampung kos operasi.