Pemandu lori positif syabu sebabkan kematian anggota PGA
Sungai Petani: Pemandu lori akan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini esok kerana menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Perlis dalam kemalangan di Kilometer 79.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, Jumaat lalu.
Dalam kemalangan jam 2 pagi itu, mangsa Koperal Muhamad Aziem Azman, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala isterinya yang sebaya dan bekerja sebagai guru cedera di kepala, badan serta kaki..
Manakala anak lelaki mereka berusia empat tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan membabitkan empat kenderaan masing-masing Honda City dipandu anggota PGA terbabit, lori PROPEL, pikap PLUS ronda dan sebuah lori.
Menurutnya, siasatan mendapati kereta anggota PGA yang melanggar serpihan tayar berhenti di lorong kecemasan sebelum lori PROPEL dipandu lelaki berusia 42 tahun bersama dua penumpang berusia 41 serta 21 tahun tiba dan memasang kon keselamatan.
"Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah lori dipandu lelaki berusia 40 tahun merempuh bucu kanan belakang lori PROPEL yang kemudian terlajak hingga terkena kereta anggota PGA terbabit," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rempuhan itu turut menyebabkan lori PROPEL berkenaan melanggar anggota PGA bersama isterinya yang ketika itu berada di luar kereta mereka.
"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di kepala manakala isterinya cedera di kepala, badan serta kaki dan pemandu lori PROPEL cedera di kepala dan dada.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat manakala isterinya dan pemandu lori PROPEL dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut," katanya.
Adzli berkata, susulan itu, polis menahan reman pemandu lori selama empat hari bagi membantu siasatan dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek akan dituduh jam 9 pagi di mahkamah esok mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian.
"Jika disabit bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun," katanya.