Ketika saya selamatkan anak lelaki, Siti Alia pula dihanyutkan arus
Pasir Mas: "Saya selamatkan anak lelaki daripada lemas, tidak sangka seorang lagi anak perempuan sudah dibawa arus dan meninggalkan saya buat selama-lamanya," luah Mohd Rosli Abdullah, 40.
Mohd Rosli menceritakan detik cemas apabila kehilangan anak perempuan, Siti Alia Nasuha, 13, selepas dipercayai bermain air di pinggir sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok, di sini, hari ini..
Katanya, kejadian berlaku terlalu cepat kerana dia turut berada di lokasi kejadian sebelum mendengar jeritan anak lelaki, Mohd Akid Akmal, 11, dan terus terjun ke sungai menyelamatkannya selain turut dibantu orang awam yang kebetulan ada di lokasi.
"Bagaimanapun, belum habis ketakutan kehilangan anak lelaki, saya baru menyedari anak perempuan turut hilang dibawa arus. Saya kaku kelemahan bagaikan tidak percaya dan hanya mampu menjerit meminta tolong orang yang ada di lokasi untuk membantu mencari Siti Alia.
"Namun, air terlalu deras dan saya hanya menunggu bantuan daripada pihak bomba untuk mencari Siti Alia. Tak dapat saya gambarkan perasaan sepanjang operasi mencarinya dan tidak berhenti berdoa anak saya selamat walaupun sedar peluang agak tipis..
Sebaik jasad anak perempuan saya ditemui, saya hanya mampu menitiskan air mata namun dalam masa yang sama cuba untuk reda dengan ketentuan-Nya," katanya ketika dihubungi, hari ini
Mohd Rosli berkata, tiada perubahan ketara berlaku kepada anak ketiga daripada enam beradik itu, tetapi dia bagaikan tidak sabar ke sungai untuk bersiar-siar dan minta bermain air di pinggir sungai.
"Sebelum ini, hampir setiap hari saya membawanya bersiar-siar di sungai, namun hari ini dia meminta untuk bermain air. Saya benarkan mereka berdua bermain air dengan pengawasan saya tetapi perkara sebegini tetap berlaku hanya dengan sekelip mata saja.
"Saya reda dengan pemergian anak yang sangat baik dan rajin dalam keluarga. Pasti kami merindui telatah serta gelagatnya yang sentiasa menceriakan adik beradik yang lain.
"Insya-Allah selesai sprosedur di hospital, anak saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jejawi, di sini," katanya
Siti Alia adalah salah seorang daripada dua mangsa lemas di Kelantan yang berlaku di jajahan Pasir Mas, hari ini, yang disahkan polis..