Hospital suruh pulang, wanita bersalin dalam kereta
Kejadian tular di Facebook seorang wanita didakwa bersalin di dalam kereta selepas disuruh pulang oleh doktor sebuah hospital di Seberang Jaya Isnin lalu..
SEBERANG PERAI – Seorang wanita didakwa terpaksa bersalin di dalam kereta apabila dia tidak sempat ke hospital dalam kejadian Isnin lalu..
Kejadian itu tular di media sosial selepas akaun Facebook, Ramlee Abd. Rahman berkongsi cerita dan dakwaan berhubung layanan di sebuah hospital kerajaan di Seberang Jaya di sini..
Menurut Ramlee, ibu berkenaan dikatakan pergi ke hospital selepas terdapat tanda bersalin dan mendaftar masuk kira-kira pukul 11 pagi, namun diminta pulang semula kira-kira pukul 3.45 petang..
Tulisnya, wanita itu didakwa diperiksa doktor pada pukul 12.30 tengah hari dan terdapat bukaan 2 sentimeter, namun doktor menjangkakan dia masih lambat untuk bersalin.
“Patient (pesakit) merayu untuk terus berada di wad atas sebab mereka tinggal di Sungai Ara, Bayan Lepas di sebelah pulau dan sekiranya berlaku kecemasan mengambil masa untuk ke hospital, namun rayuan ditolak.
“Jam (pukul) 5.15 petang sampai di rumah. Situasi trafik ambil masa lebih satu jam untuk sampai rumah,” tulisnya dalam kenanyaan itu yang setakat ini dikongsi lebih 3,600 pengguna Facebook.
Tambah Ramlee, kira-kira pukul 7 malam hari sama, pesakit mengadu kepada suaminya bahawa dia telah turun darah yang agak banyak sebelum bergegas ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di George Town dekat sini.
“Dengan keadaan trafik yang sesak, (aplikasi) Waze beri anggaran masa 50 minit (ke HPP), manakala ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) satu jam 20 minit. Tidak terduga pesakit bersalin di dalam kereta semasa menuju hospital.
“Situasi gawat si suami membawa isteri ke sebuah LEWEH Accident & Emergency. Keselamatan ibu dan bayi menjadi taruhan selain kos tidak dirancang di hospital swasta,” katanya..
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Ma’arof Sudin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman bagi menambahbaik penyampaian perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada semua lapisan masyarakat.
“Untuk makluman, HSJ mengesahkan pesakit telah mendapat rawatan hospital tersebut. Pemeriksaan mendapati pesakit mempunyai tanda-tanda kelahiran dalam peringkat awal dan beliau dibenarkan pulang dengan nasihat doktor.
“Pihak jabatan telah mengadakan perjumpaan bagi mendapatkan maklumat lanjut dari waris pesakit hari ini,” katanya.
Beliau berkata, orang awam dan pesakit yang mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan dipohon berhubung secara terus dengan pihak hospital berkenaan agar siasatan atau penambahbaikan dapat dilaksanakan segera. –